Mahkamah Lama Teluk Intan atau sebelum ini dikenali sebagai Teluk Anson Court House dibina pada tahun 1891 dan siap pada tahun 1893. Ianya merupakan antara bangunan pentadbiran kolonial terawal di Teluk Anson dan berfungsi sebagai tempat untuk mendengar dan menjatuhkan hukuman bagi kesalahan yang dilakukan di Hilir Perak. Namun begitu, mengikut laporan dari ‘Report’s on Perak 1882’ yang disediakan oleh Sir Hugh Low, Residen Perak pada waktu berkenaan menyatakan bahawa bangunan mahkamah serta bangunan-bangunan penting untuk Bandar Teluk Anson telah siap dibina pada tahun 1882.

Dari tahun 1893 sehingga tahun 1912, pada setiap hari Ahad bangunan mahkamah ini akan digunakan oleh penganut Kristian Anglican untuk tujuan keagamaan sehinggalah bangunan Gereja Anglican (kini Gereja St Luke) siap dibina pada tahun 1912. Ini kerana terdapat isu yang mengatakan bahawa keadaan kerusi di Mahkamah Teluk Anson kurang sesuai untuk majlis-majlis keagamaan Kristian pada masa itu.

Bercirikan senibina Neo-Klasikal Inggeris, bangunan mahkamah lama ini menyaksikan beberapa peristiwa-peristiwa penting yang berlaku disepanjang sejarah bandar Teluk Anson. Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, bangunan mahkamah ini telah dijadikan sebagai Mahkamah Jenayah Perang sementara bagi mengadili kes jenayah perang yang dilakukan oleh tentera Jepun di Hilir Perak. Hasilnya, Sarjan Sasaki Saburo yang merupakan ketua pasukan Kempetai (Polis Rahsia) Teluk Anson telah dijatuhi hukuman mati oleh juri hakim Mahkamah Jenayah Perang Teluk Anson yang bersidang pada 17 dan 18 Jun 1946 atas 4 pertuduhan jenayah perang yang dilakukan oleh beliau di Teluk Anson, Hutan Melintang, Bidor, Cameron Highland dan Ipoh. Beliau telah menerima hukuman tersebut pada 14 Ogos 1946 dengan cara digantung sampai mati di Penjara Taiping.

Selepas nama Teluk Anson dimasyhurkan semula dengan nama Teluk Intan oleh Sultan Perak pada tahun 1982 sempena ulangtahun ke 100 penubuhan bandar ini, bangunan ini terus digunakan sebagai mahkamah sehingga tahun 1986. Pada tahun tersebut, Mahkamah Magistret/Seksyen Teluk Intan dipindahkan ke bangunan baru yang terletak di Jalan Changkat Jong disebabkan kesesakan dan kepadatan urusan pentadbiran yang dialami selama ini dibangunan lama. Selepas bangunan ini dikosongkan, ianya telah diambil alih dan menjadi bangunan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sehingga 30 Mac 2001. Selepas itu bangunan ini telah digunakan oleh Persatuan Kawasan Rukun Tetangga (KRT)Taman Manggis sebagai Pusat Aktiviti Perpaduan Daerah sehingga 31 Disember 2002.

Bangunan ini kemudiannya telah disewakan kepada syarikat swasta untuk digunakan sebagai Gedung Jualan Serbaneka dari tahun 2003 sehingga tahun 2006. Selepas dari itu, bangunan ini telah terbiar buat beberapa tahun sehinggalah pada 11 Mac 2011, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan telah meluluskan tukarguna tanah ini kepada Kementerian Pertahanan Malaysia.

Bagi mengekalkan keaslian dan rekabentuknya yang unik, pihak Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dengan kebenaran dari Jabatan Warisan Negara telah membaikpulih bangunan ini pada bulan Jun 2012. Mulai 14 Januari 2013, Batalion Ke Tiga Rejimen Askar Wataniah telah mengambil alih dan beroperasi di bangunan ini sehingga ke hari ini. 

Bangunan Mahkamah Lama Teluk Intan ini telah diwartakan sebagai tapak warisan di bawah perenggan 27(2)(a) Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) pada 21 September 2012 dengan nombor warta P.U.(B) 299.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here